"Ya Allah Ya Tuhanku.. ampunilah aku, rahmatilah aku, cukupkanlah aku, angkatkanlah darjatku, berikanlah aku petunjuk, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku"

guestbook

Wednesday, January 14, 2009

IKHLASKANLAH NIATMU...KISAH UNTUK IKTIBAR

Kisah ini berlaku pada tahun 1982 semasa aku berada di dalam Tingkatan 5 di Sek Men Sains Pulau Pinang. Ia jarang sekali diceritakan kerana aku takut menjadi riak...

Waktu itu kebetulan hujung minggu, waktu yang biasanya sangat sunyi bagiku, ahli keluarga pula jarang-jarang sekali datang menziarah, maklumlah kami dari keluarga yang susah, keluarga kami tak punya kenderaan selain beberapa buah basikal tua buat kegunaan kami kekedai, kesurau dan kemasjid. Sedih dan sayu juga hatiku bila melihat kawan-kawan lain menerima kunjungan dari ahli keluarga masing-masing dengan kereta dengan membawa buah tangan masing-masing.

Hujung minggu biasanya aku hanya duduk di asrama sahaja maklumlah duit poket yang dikirim keluarga sangat terhad manakala biasiswa pula tak sebanyak mana. Nak bayar yuran peperiksaan SPM pun sangat sukar.

Kebetulan pada malam minggu tersebut ada majlis ceramah agama oleh Ust Muhammad, antara lain Ustaz mengajak kami menghulurkan derma seikhlas mungkin untuk perjuangan rakyat Palestin yang sedang berperang dengan puak Yahudi pada waktu itu. Aku betul-betul jadi bersemangat untuk turut sama menderma tetapi waktu itu aku tak punya apa-apa untuk disumbangkan. Aku berjanji kepada diriku sendiri untuk mendermakan kesemua wang yang akan aku terima dalam masa yang terdekat dari kampong.

Alhamdulillah kebetulan beberapa hari selepas tu aku mendapat kiriman wang dari keluarga melalui Wang Pos, jumlahnya tak lah banyak sangat, cuma RM40 sahaja. Tanpa memberitahu sesiapa aku memasukkan kesemua wang tersebut ke dalam sebuah sampul surat lalu menyerahkannya kepada seorang pelajar yang telah diamanahkan oleh pihak sekolah. Hati aku betul-betul ikhlas, seikhlas-ikhlasnya. Di dalam hati aku berkata biarlah aku berkorban beberapa waktu tanpa wang saku, asalkan hasrat ku untuk berkorban dan membantu insan yang memerlukan dapat ditunaikan. Aku langung tidak mengharapkan apa-apa balasan dan sanjungan dari sumbangan tersebut dan ingin terus sahaja melupakannya.

Selang beberapa hari aku menerima satu kejutan yang tidak diduga, seorang kawan sekelas menghulurkan kepada aku satu sampul surat . Katanya “Ini ada sikit sumbangan ikhlas dari ayah saya, untuk awak. Gunakan lah untuk membayar Yuran Peperiksaan SPM awak secepat mungkin."

Bila dibuka aku dapati di dalamnya ada sejumlah wang tunai yang bernilai RM 160 kesemunya. Satu jumlah yang aku kira sangat banyak waktu itu.

Aku menangis kerana begitu terharu kerana masih ada insan yang sudi membantu aku walaupun antara kami tidak pernah mengenali antara satu sama lain dengan rapat.Aku begitu bersyukur kepada Allah kerana telah menunjukkan salah satu tanda kekuasaannya kepadaku bahawa Dia berkuasa untuk memberi rezeki kepada sesiapa yang dia kehendaki tanpa disangka-sangka.

Untuk sekian lamanya juga Dia telah menunjukkan kepadaku satu lagi tanda kekuasaannya bahawa Dia juga berkuasa untuk menyempitkan rezeki seseorang. Namun aku tetap redha dan sabar kerana aku yakin apa yang telah dijanjikan kepadaku akan tetap menjadi milikku dan ia akan datang kepada ku.

Apa yang aku dapat dengar dari kawan-kawan, Fariza dan suaminya sejak lama begitu aktif sekali melakukan kerja-kerja amal yang melibatkan pengumpulan dana bagi membantu rakyat Palestin dan umat islam lain yang di dalam kesusahan..

Semuga Allah membalas budi dan kebaikan keluarga Hj Ibrahim dan anaknya Fariza dan kita semua...Amin




P/S::: Sebuah kisah yg dikutip daripada blog k.tirana...http://meniti-hari.blogspot.com/
sungguh terharu dan menyentuh hati..terima kasih k.tirana..sudi berkongsi..dah dijadikan
pedoman...

0 comments:

 
Share

Mommy Otai | Desenvolvido por EMPORIUM DIGITAL